UNESCO UniSZA & Sekolah Pascasarjana UNAIR Indonesia Anjur Kolokium Siswazah Antarabangsa & Community Service
Kuala Terengganu, JatimUPdate.id – Kelab atau Persatuan UNESCO Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Malaysia telah turut serta dalam program Bengkel dan Kolokium Siswazah Antarabangsa, khususnya untuk mahasiswa PhD pada Selasa (12/05/2026), bertempat di kampus UniSZA, Kuala Terengganu, Terengganu.
Program ini merupakan kerjasama antara Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA) UniSZA dan Sekolah Pascasarjana Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia.
Seramai 25 orang mahasiswa doktoral jurusan Hukum dan Pembangunan (Law & Development) dipimpin oleh *Dr. Rosa Ristawati, S.H., LL.M.*, selaku penyelaras.
Kolokium Siswazah Antarabangsa UniSZA-UNAIR
Tumpuan utama program ini ialah sesi pembentangan hasil kajian oleh para mahasiswa PhD/doktoral pascasarjana UNAIR. Yang menarik perhatian peserta bukan sahaja kualiti penyelidikan yang dibentangkan, malah latar belakang para pembentang itu sendiri.
Ramai dalam kalangan mereka merupakan individu yang sudah kukuh dalam kerjaya dan menyandang jawatan yang tinggi, seperti Auditor Pendakwa Raya, ahli parlimen ataupun peguam ternama di Indonesia, namun masih memilih untuk meneruskan pengajian ke peringkat pascasarjana peringkat doktoral.
"Ini membuktikan bahawa menuntut ilmu tidak mengenal had usia atau kedudukan. Mereka menjadi inspirasi kepada kami yang masih muda dalam perjalanan akademik," kata salah seorang peserta program, iaitu Puan Puspita, yang juga merupakan pegawai kanan Datuk Bandar (Mayor) Surabaya.
Hubungan dua hala yang erat antara UniSZA dan UNAIR sekali lagi terserlah melalui program ini, mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memajukan jaringan akademik antara Malaysia dan Indonesia.
Khususnya dalam peningkatan kualiti akademik dan perluasan wawasan mahasiswa.
Lawatan ke Madrasah Komuniti Rohingya, Kuala Berang
Selepas sesi kolokium, ahli-ahli Kelab UNESCO UniSZA bersama pelajar pascasarjana UNAIR berangkat ke Kuala Berang, Terengganu untuk melawat sebuah madrasah komuniti pelarian atau pengungsi Rohingya.
Para peserta menyantuni anak-anak kecil Rohingya melalui aktiviti mewarna, menyanyi dan bermain puzzle bersama-sama.
Madrasah yang menampung 38 orang pelajar ini menawarkan kurikulum menyeluruh merangkumi mata pelajaran akademik seperti Matematik, Bahasa Inggeris, Seni dan Pengetahuan Am berdasarkan sistem Myanmar, seiring dengan pendidikan agama merangkumi Bahasa Arab, Al-Quran dan Hadis.
Jadual harian pelajar amat padat, bermula sebelum fajar dengan Solat Tahajud, zikir, bacaan Yasin dan asas Al-Quran, sebelum sesi persekolahan bermula pukul 8.30 hingga tengah hari dan diteruskan dua jam lagi pada waktu petang.
Ustaz Usman yang menguruskan madrasah meluahkan betapa beratnya cabaran yang ditanggung.
Kos menggaji guru tinggi, sumbangan luar tidak menentu, dan hanya pejabat agama daerah yang menyumbang sekali setahun.
Beliau turut berkongsi kesukaran komuniti Rohingya mendapatkan kad UNHCR, di mana proses permohonan dalam talian yang rumit menyebabkan mereka terpaksa menunggu tiga hingga empat tahun tanpa kepastian.
Tanpa kad tersebut, peluang pekerjaan yang sah menjadi amat terhad.
Yang paling membekas ialah peringatan ustaz mengenai nasib bangsa Rohingya.
Katanya, mereka menjadi pelarian bukan kerana tiada harta, tetapi kerana perpecahan dalam masyarakat sendiri.
"Sesebuah bangsa mesti menjaga hubungan sesama sendiri walaupun di dalam komuniti terdapat bangsa yang lain. Jangan berpecah-belah, kerana berpecah membuatkan kita lemah dan tidak membawa apa-apa manfaat," tegasnya.
Beliau turut merayu agar semua pihak sudi menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk, sama ada pakaian, barangan keperluan harian mahupun wang ringgit.
Mahasiswa Mencorak Negara
Pengalaman hari ini meninggalkan kesan yang mendalam, terutama melalui peringatan yang disampaikan oleh Pensyarah Hubungan Antarabangsa FUHA UniSZA, Prof. Madya Dr. Suyatno Ladiqi. Merujuk kepada komuniti Rohingya yang sukar menjalani kehidupan harian akibat status pelarian yang membelenggu mereka, beliau menyampaikan satu mesej yang tepat menusuk kalbu para mahasiswa.
"Kamu ada kertas, kamu ada pensil, tinggal hanya melakar sahaja. Tetapi tidak kepada mereka," kata beliau.
Kata-kata itu ringkas, namun maknanya amat dalam. Ia mengingatkan para mahasiswa bahawa peluang yang ada di tangan mereka hari ini adalah sesuatu yang tidak semua orang bernasib baik untuk memilikinya.
Bagi komuniti Rohingya, sekadar untuk mendapat pendidikan dan kehidupan yang stabil pun adalah perjuangan yang tiada penghujungnya.
Maka tanggung jawab mahasiswa bukan sekadar belajar untuk diri sendiri ataupun membina masa depan sendiri, tetapi untuk mencorak bangsa dan negara dengan sebaik-baiknya. (rilis/Kelab UNESCO UniSZA/rio/yh)
Editor : Yuris. T. Hidayat